Friday, July 3, 2009

PENANAMAN CENDAWAN

Persediaan di tapak projek (seluas 2 ekar)

  • 1 unit bangunan untuk pejabat, pengumpulan hasil, bilik penyimpanan (chiller) dan bilik proses.

  • 1 unit bangunan untuk menyimpan habuk kayu dan ruang penyediaan beg media

  • 1 unit bangunan untuk pengukusan, penyejukan beg media dan bilik penyuntikan benih

  • 10 unit rumah cendawan bersaiz 20' x 50' untuk pemeraman dan pengeluaran hasil

Ciri-ciri asas rumah cendawan

  • Pengudaraan yang baik - gunakan dinding netting

  • Suhu sesuai: 28oC - 30oC - rumah cendawan beratap dan siram 2 kali sehari

  • Kelembapan bandingan yang tinggi: 80-90% (siram dua kali sehari)

  • Kalis serangga dan penyakit - dinding netting dan lantai bersimen

Ukuran rumah cendawan yang sesuai

Besar: 20' x 50' - memuatkan 10,000 - 15,000 beg
Kecil: 20' x 15' - memuatkan 3,000-4,500 beg

Contoh: Rumah berdinding jaring (netting) dan rumah berdinding daun nipah. Rumah cendawan tidak sesuai terlalu besar kerana sukar untuk mengawal jangkitan pencemaran.

Ruang dalam bangunan

  • Ruang penyediaan - ruang menggaul media

  • Ruang pengukusan - ruang beg media dibasmi kuman

  • Bilik suntik - ruang menyuntik benih

  • Bilik pemeraman - ruang untuk meletak beg media semasa pemeraman

  • Ruang pengeluaran hasil - ruang menyusun beg untuk memungut hasil

Amalan pengurusan baik

Mematuhi susun atur kerja yang mengambilkira kawasan basmi kuman dan bukan basmi kuman (perlu dipatuhi untuk mengelakkan pencemaran). Kebersihan ruang perlulah dijaga. Kerja-kerja penyediaan beg hendaklah dilakukan di kawasan tidak basmi kuman dan aktiviti pengukusan di sempadan antara kawasan tidak basmi kuman dan kawasan basmi kuman. Manakala kerja menyuntik benih dilakukan di kawasan basmi kuman dan pemeraman serta memungut hasil di kawasan basmi kuman.

Dapatkan bekalan bahan media (habuk kayu getah, dedak, kapur) dan bekalan peralatan (tutup dan leher beg media, mesin bancuh, tong dram atau pengukus besar (steamer) serta mesin pengisi dan pembekal.

Susun atur kerja yang baik boleh mengurangkan pencemaran

Ruang Penyediaan
--------------------------->
Ruang Pengukusan
-------------------------->

- Bilik suntik
- Ruang pemeraman
- Ruang pengeluaran hasil
------------------------------------>

KAWASAN TIDAK
BASMI KUMAN
^
^
^
^
KAWASAN BASMI KUMAN
SEMPADAN ANTARA
KAWASAN TIDAK BASMI KUMAN
DAN BASMI KUMAN


Teknik Menanam Cendawan

Aktiviti utama yang perlu dilakukan ialah menyediakan beg media cendawan, iaitu beg plastik tahan panas (8.5 cm x 36 cm, tebal 0.6 cm), tutup dan leher beg media, kapas/span penyumbat. Keperluan penyodok besar dan kecil (bagi projek kecil) atau mesin bancuh, mesin pengisi beg (projek besar).

Gaulkan habuk kayu getah, dedak dan kapur pertanian pada kadar 100:10:1 mengikut berat. Siram air sehingga habuk kayu tidak berderai apabila dikepal. Masukkan campuran habuk kayu getah ke dalam beg plastik dan padatkan sehingga tingginya 18 cm dan beratnya 1 kg. Pasangkan leher dan tutup (penutup disumbat dengan sedikit kapas).

Pengukusan Beg Media Cendawan

Masukkan air ke dalam tong drum sehingga paras lapik. Susun beg media secara menegak sehingga penuh tong drum. Tutup mulut tong drum dengan lapisan guni gula dan besen aluminium di atasnya. Kukus selama 7 jam. Padamkan api dan sejukkan beg media di dalam ruang penyejukan. Sekiranya tanaman cendawan itu merupakan projek besar, peralatan seperti steamer, set dapur gas, bakul pastik/besi perlu digunakan.

Penyuntikan Benih Cendawan

Peralatan yang diperlukan untuk penyuntikan benih ialah benih, pengorek benih, pelita spirit/burner dan pen marker. Sebelum memulakan kerja menyuntik, bersihkan bilik dengan pembasmi kuman sebelum menjalankan kerja menyuntik benih cendawan. Pindahkan beg cendawan yang telah sejuk ke dalam bilik suntik dan pastikan pakaian serta diri penyuntik benih dalam keadaan bersih.

Pilih benih cendawan yang baik iaitu yang berwarna putih bersih seperti kapas dan pertumbuhannya penuh sehingga ke bawah botol. Hancurkan benih cendawan dengan pencungkil yang telah dipanaskan (layur) dengan api. Atau, jika benih dalam beg plastik, picit benih cendawan sehingga lerai. Buka mulut beg media dan masukkan benih cendawan anggaran sebanyak 1 sudu besar. Penutup mulut beg media dilayur dan dipasangkan kembali pada beg media (pastikan benih cendawan turun ke bawah dan tidak berlonggok di leher beg media). Kemudian tarikh suntik benih dan jenis cendawan dicatatkan pada beg media cendawan.

Pemeraman Beg Media Cendawan

Susun beg media cendawan di atas rak dalam ruang pemeraman cendawan secara rebah atau tegak. Peram beg media cendawan selama lebih kurang 60 hari dalam keadaan gelap, pada hulu 28-30oC sehingga maisiliam putih tumbuh penuh ke seluruh beg cendawan. Semasa pemeraman tidak perlu penyiraman air.

Memungut Hasil

Buka mulut beg media cendawan setelah pemeraman selama 45-60 hari dan maisiliam memenuhi keseluruh beg media. Peringkat pertumbuhan cendawan bermula pada hari kedua cendawan mula keluar seperti anak mancis dan pada hari ketiga cendawan mula membesar dan kembang. Pada hari keempat, cendawan membesar ke peringkat optima. Di peringkat ini cendawan mempunyai ciri-ciri berkualiti seperti kelihatan segar dan cantik, rasanya rangup dan manis, tahan lebih lama serta tidak mudah lembik dan tidak cepat berbau busuk. Pada hari kelima, tepi cendawan mula berombak dan pecah. Ini menunjukkan cendawan terlalu matang/tua. Kualiti rendah, rasanya kurang manis, liat dan cepat berbau busuk.

Oleh itu, pungut hasil pada hari ketiga atau keempat (sebelum tepi cendawan berombak dan pecah) dengan cara mencabut seluruh rumpun cendawan. Bersih dan tutup kembali mulut beg media dengan penutup rehat. Rehatkan beg media cendawan selama 10 hari sebelum dibuka untuk hasil berikutnya. Kutipan berikutnya 10-14 hari selepas direhatkan. Untuk mendapatkan cendawan segar pada kuantiti yang sama pada setiap hari:-

  • Jumlah beg media cendawan dibahagi kepada 15 kumpulan

  • Jumlah beg cendawan yang dibuka setiap hari didharabkan dengan 50 gm (anggaran hasil/beg/petik)

Contoh perkiraan:-
Untuk mendapatkan cendawan segar sebanyak 50 gm pada setiap hari mesti ada sejumlah 15,000 beg media cendawan yang dibahagikan kepada 15 kumpulan untuk mendapatkan 15 hari pusingan rehat dan buka. Bermakna 1,000 beg media dibuka setiap hari.

Pengendalian Lepas Tuai

Leraikan cendawan, buangkan cendawan yang terbantut pembesarannya dan cendawan yang cacat. Kerat pangkal tangkai cendawan dengan pisau atau gunting. Susun dalam plastik secara satu hala. Jual terus hasil cendawan yang masih segar atau simpan dalam peti sejuk tidak lebih dari 3 hari (simpan dalam keadaan insang cendawan menghala ke atas).

Pemasaran Hasil

Cendawan boleh dipasarkan dalam bentuk cendawan segar, cendawan kering dan cendawan yang diproses. Selain dari dimakan segar dan kering, kini telah dipelbagai produk dari cendawan seperti pengetinan, 'vacuum deep fry' 'forezen tempura', campuran dalam kopi / minuman, penjagaan kesihatan, perapi diri, dan kosmetik.

JENIS-JENIS CENDAWAN DAN FUNGSINYA:

1.
Auricularia sp. (Telinga Kera / Jeli Hitam)

  • Merawat gangguan kardiovaskular - memecah darah beku, mengawal atur tekanan darah, merendah kolesterol dan lipid.
  • Antioksidan dan melindungi dari kerosakan DNA.
  • Boleh mengurangkan berat badan.
2.
Schizophyllum Commune (Cendawan Kukur)

  • Mengandungi Schizophyllan iaitu ubat antitumor dan kanser.
  • Meningkatkan sistem imun: anti-radangan, antibakteria dan antiparasit.
  • Melindungi hati.
3. Lentinus Edodes (Shitake)





(sumber: Agromedia Bil. 6, 1999 dan Bil. 8, 2000)

Walaupun harganya mahal, cendawan shitake paling lazat jika dibandingkan dengan cendawan lain dengan kandungan zat makanan dan protin yang tinggi. Dari segi perubatan, cendawan ini dikatakan dapat mengurangkan kolesterol serum; bertindak sebagai antivirus, antiketumbuhan dan berkesan untuk menghalang pendarahan otak. Fungsi-fungi lain adalah seperti berikut:-


  • Mengandungi Lentinan iaitu ubat antikanser. Juga diguna sebagai terapi imun untuk kanser paru-paru, usus, serviks dan payudara.
  • Merencat kejadian semula kanser.
  • Meningkatkan sistem imun dengan merangsang imfosit dan makrofaj melawan bakteria, virus, sel tumor dan toksin.

Cendawan Shitake (Wikipedia - Ensiklopedia Bebas)


Di Sarawak, jenis shitake dari negeri China yang lebih sesuai dengan iklim tropika digunakan untuk penanaman. Cendawan shitake ini boleh dituai 6 bulan selepas substrat disuntik dengan benih. cendawan boleh dituai beberapa kali sehingga umur substrat tersebut menjangkau 10 bulan. Jumalah hasil yang diperolehi daripada satu beg substrat dalam masa 10 bulan ialah 300-350 g. Berat sekuntum cendawan lebih kurang 40-80 g. Malah terdapat cendawan yang beratnya mencapai 100 g dengan garis pusat kuntum 14-15 cm.

Dalam penanaman shitake, substrat untuk diisi ke dalam beg plastik terdiri daripada campuran habuk kayu, dedah, amonium sulfat, kapur dan air (75% lembapan). Campuran dengan berat basah 1.2 - 1.5 kg dimasukkan ke dalam beg. Beg yang berisi substrat ini dikukus selama 10 jam pada suhu 100oC untuk menyagkuman. Beg-beg ini kemudiannya dibiarkan sejuk di dalam bilik suntikan benih. Benih shitake disuntik di permukaan substrat yang sudah sejuk. Kemudian beg-beg dipindahkan ke dalam rumah cendawan bagi tujuan pertumbuhan akar (miselium). Pertumbuhan miselium mengambil masa 2 bulan bagi memenuhi keseluruhan beg tersebut. Tempoh masa pertumbuhan miselium boleh disingkatkan dengan menebuk lubang di tengah beg yang mengandungi substrat bagi tujuan penyuntikan benih. Selepas miselium tumbuh dengan sekata, substrat ditanggalkan daripada beg plastik dan dipindahkan ke tapak pengeluaran cendawan. Sebelum substrat dipindahkan, tapak pengeluaran perlu disembur dengan racun serangga dan ditabur dengan kapur supaya keadaannya sesuai untuk pertumbuhan cendawan. Substrat-substrat disusun di atas tanah secara menegak dan ditutup dengan plastik hitam. Lembapan di dalam rumah cendawan ditingkatkan dengan menyembur air dua kali sehari pada sebelah pagi dan tengah hari. Selepas 2 bulan, substrat yang mengandungi miselium akan bertukar warna menjadi coklat kehitam-hitaman. Plastik hitam yang menutupi substrat dibuka sepenuhnya dan lembapan ditingkatkan sehingga 90%. Selepas beberapa minggu, primodia cendawan tumbuh dan cendawan segar dapat dituai 3-4 hari kemudiannya. Pertumbuhan cendawan yang besar dituai manakala yang kecil dibiarkan untuk membesar.

Sistem beg plastik digunakan dalam penanaman cendawan shitake kerana beberapa kebaikan. Yang pertama sistem ini dapat mengurangkan tempoh pengeluaran cendawan dari 2-3 tahun kepada setahun. Dengan ini, kitaran pengeluaran cendawan dapat ditambah. Sistem ini juga dapat menggunakan berbagai-bagai jenis habuk kayu yang dihasilkan oleh kilang kayu. Secara tidak langsung, pencemaran oleh kilang-kilang tersebut dapat dikurangkan. Selain itu, pengurusan sistem ini juga lebih mudah dan teratur.(sumber: Agromedia Bil. 6 1999)

Hasil penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan di Jepun mendapati bahawa lebih kurang 50 jenis enzim terdapat pada cendawan ini. Contohnye enzim asparaginase yang terdapat pada cendawan ini digunakan untuk merawat penyakit leukimia, polio, barah, Hepatatis B dan C, AIDS dan kencing manis. Cendawan ini juga bertindak sebagai anti kulat, anti kanser dan anti virus yang sangat berfaedah dalam bidang perubatan masa kini.

Dalam bidang pemprosesan makanan shitake boleh digunakan sebagai bahan makanan, asas ramuan makanan dan agen perasa cendawan. Shitake juga mempunyai rasa yang sedap iaitu empat kali ganda jika dibandingkan dengan rasa cendawan butang. Kandungan garam natriumnya rendah. Penggunaan perasa tiruan yang mempunyai kandungan garam dan bahan kimia yang tinggi dapat dielakkan jika shitake digunakan sebagai bahan perasa dalam makanan.

Cendawan ini tidak mengandungi gula, kaji, lemak dan kolesterol tetapi mempunyai sumber fiber yang tinggi untuk mengatasi masalah penghadaman dan menyenangkan proses perkumuhan. Fiber juga dapat menyerap air dan bertindak sebagai penimbal di dalam sistem tubuh. Pada masa ini, shitake merupakan salah satu sumber protin yang popular di Jepun dan China. Ia boleh digunakan sebagai masakan utama dan juga pengganti kepada resepi-resepi berdaging. Cendawan ini mempunyai potensi yang luas untuk dikomersialkan.

4.
Flammulina velutipes (Jarum Emas)

  • Toksik terhadap sel tumor.
  • Meningkatkan sistem imun untuk menghalang jangkitan kulat dan virus.
  • Anti-radangan.
  • Aktiviti pelindung gen - menghalang kerosakan DNA sel.
5.
Agaricus Brasillensis (Cendawan Butang)

  • Merencat tumor.
  • Mengawal atur tekanan darah.
  • Merawat gastrik.
6.
Ganoderma sp. (Ling zhi)

  • Menghalang dan merawat kanser.
  • Meningkatkan sistem imun - anti-allergik, anti-radang, antiviral, antibakteria dan antioksidan.
  • Melegakan/ merawat paru-paru yang rosak akibat asthma dan masalah pernafasan lain.
  • Melindungi hati dengan meningkatkan proses detoksifikasi.
7.
Hericeum Arinaceum (Cendawan Butang Kubis)

  • Merangsang faktor pertumbuhan saraf: berpotensi untuk merawat penyakit gangguan saraf seperti dementia, trauma saraf akibat strok dna penyakit Alzheimer.
  • Memperbaiki otot/gerakbalas motor dan fungsi kognitif.
  • Lektin - merencat pengumpulan sel darah merah.
  • Merawat ulser perut.
  • Meningkatkan sistem imun.
8.
Pleurotue spp. (Cendawan Tiram)

  • Mengawal atur darah - anti-thrombotik, merendahkan tekanan darah, kandungan glukosa dan lipid.
  • Meningkatkan sistem imun untuk melawan jangkitan virus dan bakteria.
  • Merencat pertumbuhan tumor.
  • Antioksidan dan aktiviti pelindung gen.

No comments:

Post a Comment